Teknik 4: Biarpun Dia Melakukan Kesalahan, Pelajar Corot Tidak Boleh Dihukum

 Teknik 4: Biarpun Dia Melakukan Kesalahan, Pelajar Corot Tidak Boleh Dihukum

Ada hasil kajian di Amerika yang menunjukkan guru-guru cenderung bersikap sangat keras terhadap pelajar-pelajar corot, dibandingkan dengan sikap guru terhadap pelajar kelas cemerlang.

Sebagai contoh, bagi jenis kesalahan yang sama, guru mengenakan hukuman yang lebih keras kepada pelajar corot.

Umpamanya, jika pelajar kelas corot tidak menyiapkan latihan, guru mengenakan hukuman seperti memarahi pelajar itu dengan kuat sehingga dapat didengar pelajar-pelajar lain, ataupun menghukum pelajar itu dengan menyuruh dia berdiri di luar kelas, ataupun lain-lain hukuman yang mencederakan emosi dan psikologi si pelajar.

Tetapi jika pelajar kelas cemerlang yang tidak menyiapkan latihannya, guru bersikap lebih lembut.

Dalam prosedur motivasi teknik Nabi Muhammad, guru-guru tidak boleh menghukum pelajar corot yang melakukan kesalahan kerana melanggar undang-undang dan peraturan ciptaan manusia, khususnya ciptaan guru-guru.

Perbuatan tidak menyiapkan latihan bukanlah perbuatan yang haram dan berdosa di sisi agama. Kesalahan jenis ini tidak boleh dihukum oleh guru.

Dalam hadith-hadith psikologi, Nabi Muhammad menunjukkan bagaimana bagi sesetengah perbuatan dosa berat sekalipun, beliau tidak mengenakan sebarang hukuman semata-mata kerana kesalahan-kesalahan jenis itu tidak ada hukumannya di dunia, sebaliknya hukuman itu hanya ada di akhirat sahaja.

Berdasarkan sunnah Nabi Muhammad, guru-guru tidak boleh menghukum pelajar kelas corot yang dattang lambat, ponteng, bising, tidak membawa buku, tidur dan lain kesalahan yang sebenarnya bukan benda berdosa dalam agama.

------

Nota: Tuan akan menerima semua posting blog ini secara percuma. Tulis alamat emel tuan dalam jendela yang disediakan di tebing kiri blog ini.



Teknik 3: Guru Tidak Dibenarkan Memuji Diri Si Pelajar

Teknik 3: Guru Tidak Dibenarkan Memuji Diri Si Pelajar

Dalam motivasi Islam, puji-pujian adalah alat mendorong perubahan tingkah laku dari yang negatif menjadi positif. Puji-pujian yang dapat melakukan perubahan itu adalah pujian yang tidak ditujukan kepada diri pelajar yang dipuji.

Contoh pujian yang ditujukan kepada diri orang yang dipuji adalah:

"Pandai!"
"Kamu budak pandai."
"Kamu sungguh pintar."
"Bijak!"
"Bijaknya kamu."

Puji-pujian yang ditujukan kepada diri pelajar itu boleh mencipta kesan-kesan positif:

1. Pertama kali pelajar mendengar dirinya dipuji dia mungkin berasa sangat seronok menerima kata-kata pujian itu.

2. Pelajar mungkin menjadi suka kepada guru yang memuji.

Puji-pujian seperti itu mencipta lebih banyak kesan-kesan negatif ke atas pelajar:

1. Apabila puji-pujian seperti itu diulang berkali-kali, pelajar mungkin melihat pujian itu tidak ikhlas, dibuat-buat.

2. Pujian itu dianggap ada motif tersembunyi di sebaliknya.

3. Pelajar mungkin melihat gurunya seorang yang manipulatif dan dirinya sedang cuba dimanipulasi oleh si guru.

4. Pelajar boleh menjadi 'perasan', dalam erti kata dia yakin dirinya seorang budak yang bijak, padahal dia tidaklah sebijak mana.

5. Hasil kerja si pelajar itu tidak bertambah baik.

6. Tingkah laku negatif pelajar tidak berubah kepada yang lebih positif.

7. Persepsi-diri si pelajar boleh menjadi herot-perot.

Justeru, puji-pujian yang ditujukan kepada diri si pelajar mencipta lebih banyak kesan negatif daripada kesan positif.

------

Nota: Tuan akan menerima semua posting blog ini secara percuma. Tulis alamat emel tuan dalam jendela yang disediakan di tebing kiri blog ini.


Teknik 2: Biarpun Pelajar Melakukan Banyak Kesalahan, Guru Tetap Tidak Bertanya "Kenapa....?"

Teknik 2: Biarpun Pelajar Melakukan Banyak Kesalahan, Guru Tetap Tidak Bertanya "Kenapa...?"

Apabila pelajar kelas corot melakukan kesalahan, jarang-jarang sekali dia hanya melakukan satu kesalahan sahaja. Lazimnya dia melakukan beberapa kesalahan serentak.

Sebagai contoh, apabila pelajar kelas corot melakukan tidak membawa buku teksnya ke sekolah, dia sebenarnya melakukan kesalahan-kesalahan di bawah ini serentak:

a. Dia tidak membawa buku teksnya.
b. Dia tidak membawa buku latihannya.
c. Dia tidak membuat latihannya.
d. Dia tidak meminta maaf kepada guru.
e. Dia tidak menampakkan air muka orang bersalah.
f. Dia menjawab pertanyaan guru dengan cara kurang sopan.

Dalam teknik motivasi Islam, meskipun pelajar itu melakukan banyak kesalahan, guru tetap tidak boleh bertanya dengan menggunakan ayat-ayat di bawah:

"Kenapa....?" (SALAH)
"Mengapa....?" (SALAH)
"Apa sebab....?" (SALAH)
"Apa pasal....?" (SALAH)

Sebaliknya guru pura-pura tidak perasan bahawa pelajar itu telah melakukan banyak kesalahan, dan meneruskan sesi mengajar kelas macam biasa.



Teknik 1: Apabila Pelajar Melakukan Kesalahan, Jangan Ditanya "Kenapa....?"

Teknik 1: Apabila Pelajar Melakukan Kesalahan, Jangan Ditanya "Kenapa....?"

Pelajar kelas corot banyak melakukan kesalahan. Contoh-contoh kesalahan yang kerap berlaku dalam kelas corot:

a. Bising semasa guru bercakap.
b. Tidak membawa buku.
c. Tidak menyiapkan kerja latihan.
d. Mengantuk dan tertidur.

Dalam teknik motivasi Islam, guru tidak boleh bertanya dengan menggunakan perkataan-perkataan yang mempersalahkan murid:

"Kenapa....?" (SALAH)
"Mengapa....?" (SALAH)
"Apa sebab....?" (SALAH)
"Apa pasal....?" (SALAH)

Ayat tanya yang menggunakan perkataan-perkataan itu adalah ayat-ayat yang menuduh pelajar itu bersalah. Akibatnya:

a. Pelajar tidak suka dirinya dituduh. Dia berasa belum apa-apa dirinya sudah dituduh.

b. Guru dipandang sebagai orang yang suka menuduh tanpa usul periksa dahulu, menyebabkan pelajar menyampah kepada sikap guru.

c. Disebabkan pelajar berasa dirinya dituduh, maka pelajar terdorong memberi jawapan berdusta demi menyelamatkan dirinya.